Hidung Berdarah secara Tiba-Tiba!

Ahad lepas saja lah bawah budak2 ni meronda tengok jalan memandangkan dah boleh rentas daerah. Nak beli barang basah sikit dekat Pasar Tani area Bangi. Elok dah nak sampai pasar tani tu tiba-tiba hidung Ammar berdarah. Tiba-tiba wehhh. Terus double signal berhentikan kereta kat tepi jalan carik tisu nak lap.

Budak 3 tahun dapat naik kereta seronok la kann tengok pemandangan. Hidung dia darah pun dia relaks je. Aten nak lap betul2 darah tu pun dia tak bagi. Ya Allah ketegaq betul Ammar time ni. Tapi Aten tak panik sangat sebab bapak Ammar pun kadang-kadang hidung berdarah.

Bila Aten google, rupanya hidung berdarah ni normal untuk kanak-kanak. First time jadi kan. Tu yang baru google. Kalau tak google taktau. Hahaha. Bertambah satu ilmu parenting Aten.

Jom Aten share sikit pasal hidung berdarah dalam kalangan kanak-kanak ni dan apa perlu dilakukan jika hidung kanak-kanak berdarah secara tiba-tiba.

Sebenarnya hidung berdarah atau istilah perubatannya, epistaksis berlaku apabila salur darah kecil (kapilari) di rongga hidung pecah disebabkan beberapa punca seperti kecederaan, udara terlampau sejuk atau kering, menghembus hidung dengan kuat, terlalu kerap bersin, jangkitan sinus dan kesan sampingan penyakit serius seperti ketumbuhan dalam rongga hidung selain dalam kes jarang berlaku seperti tekanan darah tinggi.

Kenapa hidung berdarah? 

  • Kecederaan akibat menggorek hidung : Ramai kanak-kanak, termasuk orang dewasa, mempunyai tabiat menggorek hidung masing-masing. Apabila kuasa penggorekan yang digunakan terlalu besar, atau kuku terlalu panjang, mereka akan menggaru saluran-saluran darah di hidung septum dan menyebabkan pendarahan.
  • Alahan: Apabila hidung menghadapi gangguan alergen-alergen, ia akan terasa gatal. Kanak-kanak biasanya menggosok hidungnya, menyebabkan saluran-saluran darah pecah dan berdarah.
  • Mukosa hidung yang kering: Apabila membran mukosa dalam hidung menjadi kering, saluran-saluran darah akan pecah dengan mudah.

Cara merawat hidung berdarah:

  • Elakkan pesakit berasa panik terutamanya kanak-kanak. Tenangkan mereka dan dudukan mereka dalam posisi tegak.
  • Picit batang hidung dan tundukkan kepala ke hadapan. Lakukan ini selama 10 minit.
  • Jika pendarahan belum berhenti selepas 10 minit langkah di atas dilakukan. Ulang semula langkah ini.
  • Jika pendarahan masih tidak berhenti selepas 30 minit, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital.
  • Selepas pendarahan berhenti, anda boleh tuam hidung dengan ais. Elakkan dari menuam terlalu lama bagi mengelakkan kerengsaan pada kulit.

Perkara yang perlu dielakkan jika hidung berdarah:

  • Berbaring atau mendongakkan kepala
  • Menyumbat hidung dengan tisu, kapas atau kain
  • Menghembus hidung atau mengorek hidung
  • Makan makanan panas atau pedas boleh menyebabkan hidung kembali berdarah
Semoga bermanfaat buat semua! 

Post a Comment

0 Comments