Maid tukang on butang 'live' Bersama Tya



Bukan tamak mahu melakukan semua cabang kerja, namun ibu kepada Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa ini kini bergelar pengacara pula mengendalikan program bual bicara dalam talian, Bersama Tya.

Malah pandemik COVID-19 yang sudah lebih setahun melanda dunia juga turut menjentik semangat Tya Arifin berkongsi hal positif dan suntikan inspirasi menerusi program berkenaan.

Bersiaran secara langsung setiap Isnin, Selasa dan Rabu jam 10 malam di 'Instagram Live' sejak 14 Jun lalu, Tya juga dalam masa sama membiasakan norma baharu bekerja dari rumah.

Terdahulu, isteri kepada Asyraf Khalid ini pernah berlakon, menyanyi dan menceburi perniagaan jus kesihatan, Mutyara.

"Dalam membiasakan norma baharu sekalipun berdepan  kekangan tertentu di era pandemik ini, kenapa tidak saya manfaatkan platform media sosial seperti Instagram hingga ke YouTube.

"Sebenarnya, dulu di negara kelahiran sendiri, Indonesia... saya pernah juga jadi penyampai radio. Cuma tak sempat berjinak jinak jadi pengacara," katanya.

Malah dalam membiasakan norma baharu ini juga, segala serbi  kerja dilakukan sendiri wanita kelahiran Palembang, Indonesia ini.

"Untuk tugasan program ini, saya banyak melakukan semua kerja sendirian. Awalnya pasukan kerja saya yang menguruskan set program, tetapan gajet, bahan grafik dan sebagainya. Lagi pun saya sudah terbiasa buat 'live' di Instagram, jadi tidak canggung.

"Selepas itu, pendek kata semua saya uruskan sendiri. Termasuklah menata rias diri, menentukan pakaian yang mahu dipakai. Malah tetamu atau panel jemputan pun saya sendiri yang undang.

"Lagipun mudah kerana saya bersiaran di rumah. Anak pula jam 9 malam sudah masuk tidur. Jadi masa 'live' saya tak diganggu mereka. Pembantu rumah hanya 'standby' tekan butang 'live' di telefon bimbit saja," katanya.

Setakat ini sudah lebih 30 episod bersiaran yang kemudiannya turut dikongsi di pelbagai platform termasuk di 'feed' Instagram dan dimuat naik di saluran YouTube Tya Arifin.

Tidak hanya mengundang rakan artis dan personaliti di Malaysia, Tya atau nama penuhnya, Nurtria Wulandari Arifin ini turut mengundang selebriti dari Indonesia.

Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tengku Zawiyah, Nina Ismail Sabri, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad antara yang pernah diundangnya.

"Saya fikir ketika pandemik ini ramai yang bergelut. Malah terlalu banyak hal negatif di media sosial. Setidak tidaknya perkongsian inspirasi dan positif daripada tetamu jemputan boleh menyebarkan aura baik.

"Isu yang dikupas juga sangat dekat dengan kita. Malah ada yang bersifat semasa dan terkini. Malah saya juga tak bataskan hanya tetamu jemputan di kalangan wanita saja. Nanti tetamu lelaki pun ada. Dulu perkongsian atau motivasi saya mungkin terbatas di kalangan usahawan. 

"Tapi sekarang ini, sesiapa saja yang mengikuti saya di media sosial boleh mendapat benda sama. Malah saya juga ada kumpulan telegram Tya Arifin. Menerusi saluran itu banyak juga hal dikongsi. Boleh juga ke Instagram @bersamatya," katanya yang meminati Ellen Degeneres dan Mata Najwa.

Dalam pada itu, Tya juga berharap suatu hari nanti dapat mengundang wanita berpengaruh termasuk Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai tetamu jemputan.

"Dapat jemput Tun Dr Siti Hasmah jadi tetamu pasti saya akan rasa bangga. Begitu juga di kalangan figura wanita yang menjadi kekuatan pemimpin di Indonesia.

"Malah saya bercita cita mengundang tokoh pemimpin dan motivasi lain selepas ini," katanya.

Di akhir bicara, Tya tak lepas ditanya mengenai kerinduannya  terhadap keluarga di kampung halaman selepas dua tahun tidak bersua.

"Bab rindu ini sebenarnya bagai  sudah kering air mata. Kerinduan itu terlalu berat. Tapi apa daya kita melawan ujian pandemik ini. Nak rentas negara, bukan perkara mudah. Saya reda," katanya yang sudah lengkap dos dua vaksin.

Post a Comment

1 Comments