Tonton 'Kembalikan Syawalku' di Astro Raya Ini

Salam Ramadan readers kesayangan Aten!
Haritu Aten berkesempatan untuk ke tayangan perdana telemovie Kembalikan Syawalku dan Iftar bersama-sama anak anak dari Rumah Pengasih Warga Prihatin yang diadakan di GSC Signature The Garden Mall. 

Pihak produksi telefilem Kembalikan Syawalku amat bertuah kerana dapat menggandingkan barisan pelakon veteran hebat iaitu Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar dan Sabri Yunus. Lakonan mantap mereka ini dilengkapkan lagi dengan penampilan  barisan pelakon muda seperti Syafie Naswip dan Sharifah Amani.

Arie yang ditemui di majlis tayangan  perdana telefilem Kembalikan Syawalku berkata "Walaupun menggandingkan hero dan heroin veteran, saya percaya dengan kekuatan jalan cerita dan lakonan mantap, mereka mampu membuatkan penonton mengalirkan air mata,"

Pada majlis tersebut turut diadakan sesi penyerahan sumbangan hari raya dan cabutan bertuah untuk memeriahkan majlis. Alhamdulillah Aten salah sorang pemenang bertuah tu. Hehehe. Terima kasih Arie Zaharie Production!
Sinopsis Kembalikan Syawalku :
Aishah atau Mak Chah (lakonan Fauziah Nawi) tidak sabar hendak berjumpa bakal menantu pada hari raya nanti. Sebelum berpuasa lagi, Mak Chah sudah mula membuat persediaan untuk menyambut hari raya yang meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Latifah atau Mak Pah (Fatimah Abu Bakar) pula tidak sabar hendak menyambut raya kerana inilah pertama kali dia akan beraya dengan anak bongsunya setelah empat tahun anak bongsu itu berada di luar negara.
Akil (Syafie Naswip) pula kehilangan  thumbdrive yang ada kerja penting di dalamnya. Akil menuduh emaknya sudah terbuang thumbdrive tersebut semasa mengemas. Pertama kali Akil meninggikan suara kepada emaknya. Mak Chah merajuk. Akil bergegas ke pejabat dan mendapati thumbdrive itu ada atas meja di pejabat. Akil rasa sangat bersalah kerana memarahi emaknya. Namun, Akil mengejar masa. Dia perlu mencetak dokumen, menjilid dan menyerahkan kepada majikannya. Dalam perjalanan, Akil ditimpa kemalangan. Dia cedera parah dan tak sedarkan diri.
Sementara itu di rumah, Pak Jamil (Sabri Yunus) sedang menebang dahan pokok. Walaupun dilarang Mak Pah, Pak Jamil tidak peduli. Akhirnya, Pak Jamil jatuh ke tanah. Pak Jamil dikejarkan ke hospital. Kakinya patah! Namun anak-anaknya tidak percaya kerana sebelum ini Pak Jamil selalu menipu kononnya dia jatuh dan masuk hospital semata-mata kerana mahu anak-anak pulang.
Di hospital, Mak Chah dan Mak Pah berkenalan. Mereka bersembang tentang diri masing-masing. Sekelip mata, hubungan mereka menjadi rapat.
Doktor mengesahkan Akil lumpuh dari pinggang ke bawah. Akil sangat kecewa. Dia mula bertanya kenapa dia diberi musibah ini sedangkan dia tak pernah menyakiti sesiapa dalam hidupnya.
Pak Jamil pula mengalami kesan sampingan yang serius disebabkan faktor usianya. Pak Jamil meminta Mak Pah menelefon anak-anak supaya balik. Apabila masing-masing memberi macam-macam alasan, Pak Jami menyuruh Mak Pah menipu kononnya dia sedang nazak.
Pak Jamil sering bertemu Akil semasa menjalani rawatan fisioterapi. Pak Jamil menasihati Akil tentang pelbagai hal terutama tentang takdir. Atas nasihat Pak Jamil, Akil akhirnya sedar tentang segala kesalahan yang dilakukan terhadap Mak Chah. Dia benar-benar insaf. Dia mencari-cari Mak Chah kerana mahu meminta maaf.
Di rumah, Mak Chah sedang memasak ketupat dan rendang. Dia kemudiannya ke bilik Akil untuk mengambil baju melayu. Mak Chah ternampak dream board Akil. Beberapa gambae perancangan Akil mula terkeluar dari papan tersebut. Salah satu perancangan Akil ialah menghantar Mak Chah ke Mekah.
Takbir raya bergema di awal pagi. Akil membuka mata, ternampak ada sebekas ketupat, rendang dan baju melayu atas meja. Akil terasa amat bersalah. Dia mencari-cari Mak Chah. Akil nampak emaknya sedang berzikir. Mak Pah pula mengejutkan Pak Jamil untuk bangun bersolat Subuh dan bersiap menyambut kedatangan anak-anak.
Salah satu telefilem raya yang berjaya membuatkan Aten menitiskan air mata. Jalan cerita yang ringkas tapi deep. Banyak pengajaran yang boleh diambil ketika ditonton. Gandingan hebat kali pertama bersama-sama pelakon veteran membuatkan telefilem ni nampak hebat. Telefilem raya wajib tengok raya tahun 2017 ni!

Telefilem Kembalikan Syawalku arahan Pitt Hanif ini bakal bersiaran pada malam raya, 24 Jun, jam 9 malam di saluran Astro Citra dan Mustika HD.

Post a Comment

1 Comments