Kronologi Pelajar UPNM Maut Didera Menggunakan Seterika Wap

Seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, meninggal dunia petang semalam selepas dipercayai didera rakan dengan seterika wap.
Zulfarhan merupakan pegawai kadet laut tahun tiga ditemui memiliki kesan melecur akibat ditekap dengan seterika wap di bahagian dada, tangan dan kakinya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengesahkan berita kematian mangsa menerusi laman Twitternya.
“Innalillah… sedih dan pilu pagi ini dengar berita kematian Pegawai Kadet Laut @upnm, Zulfarhan Osman bin Zulkarnain. Al Fatihah.
“Saya telah arahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan UPNM untuk jalankan siasatan dengan kadar segera. Tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah, “ kata beliau.
Sementara itu, ibu bapa arwah yang nyata terkejut dan sedih dengan kematian anak mereka menyatakan Allahyarham merupakan anak harapan keluarga.
“Arwah adalah anak harapan keluarga ini dan tidak sangka dia meninggalkan kami dalam keadaan begini,” luah bapa mangsa, Zulkarnain Idrus, lapor Harian Metro.
Menurut Zulkarnain, dia melihat kesan melecur akibat ditekap seterika wap di bahagian dada, tangan dan kaki jenazah anaknya sebelum proses bedah siasat dijalankan di Hospital Serdang.
Kali terakhir Zulkarnain bertemu dengan arwah anaknya itu adalah dua hari sebelum Ramadan dan mangsa ada mengadu dengan ibunya, Hawa Osman yang dia dipukul rakan-rakan universiti namun mereka menyangka ia tidak serius.
Reda dengan pemergian anaknya, Zulkarnain berharap pihak pengurusan UPNM dan Angkatan Tentera Malaysia untuk menyiasat kejadian tersebut dengan telus dan adil.
“Dia adalah harapan kami sekeluarga. Saya harap dia boleh bimbing adik-adiknya selepas dia berjaya.
“Kami reda dengan pemergiannya namun meminta pengurusan UPNMdan Angkatan Tentera Malaysia untuk menyiasat kejadian ini dengan telus dan adil,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang.
Media hari ini melaporkan seramai 32 mahasiswa UPNM dan empat mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (Uniten) berusia antara 20 dan 21 tahun ditahan bagi membantu siasatan kematian Zulfarhan.
Zulfarhan disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Serdang kira-kira pukul 10 malam selepas dihantar mendapatkan rawatan di hospital tersebut oleh beberapa orang rakan dipercayai akibat didera menggunakan seterika wap.
Moga Allah memberikan rahmat & keampunan keatas Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, memasukkan Allahyarham dlm golongan soleh & syuhada, dan ditempatkan disyurga.
Pihak UPNM harus bertanggungjawab. Dan manusia yang kononnya mengaku bomoh!

Post a Comment

0 Comments