Cerahkan Kulit Secara Semulajadi

Nak cantik? Nak cerahkan kulit? Jom baca ni dan praktikkan tau! Jangan lupa-lupa. Hee



Betik
Kulit yang kusam biasanya disebabkan sel kulit yang telah mati. Cara terbaik untuk mengatasinya adalah dengan menggunakan buah betik. Ia mengandungi enzim yang bermanfaat membersihkan kekotoran dan menghilangkan sel-sel kulit mati dengan kadar segera. Buah yang sungguh manis rasanya ini juga mengandungi vitamin C yang bermanfaat sebagai antioksida. Kulit anda pasti akan menjadi lebih halus, lembut dan cerah.
Caranya mudah sahaja. Ambil betik yang masih muda, potong dan kisar. Kemudian, titiskan perahan limau nipis. Oleskan di wajah dan leher. Lakukan seminggu sekali untuk hasil yang lebih memuaskan.
 
Timun
Cara kedua untuk cerahkan kulit ialah menggunakan timun. Sayur ini memiliki kandungan air yang tinggi sekali gus bermanfaat melembapkan kulit wajah. Ia juga bertindak sebagai agen mencerahkan kulit yang terbaik.
Ambil separuh timun yang segar dan kisarkan ia. Titiskan air perahan lemon. Ratakan kesemuanya. Letak di seluruh wajah dan leher anda selama 15 minit. Selepas itu, bilas dengan air suam. Lakukannya setiap hari mengikut kerajinan anda.

Yogurt
Mengubah kulit gelap atau sawo matang menjadi putih amat mustahil kerana ditakuti berlaku beberapa kesan sampingan. Jalan yang terbaik ialah mencerahkannya secara sihat. Untuk mendapatkan kulit wajah yang sihat, gunakan yogurt. Ia mengandungi vitamin C dan vitamin B3 yang bermanfaat untuk mencerahkan kulit.
Campurkan dua sudu besar yogurt dengan perahan limau nipis. Adun kedua-duanya hingga rata. Kemudian, sapu ke wajah dan leher anda. Biarkan selama 15 minit sebelum dibilas dengan air bersih. Jika ingin mencerahkan bahagian lain pula, jumlah yogurt perlu ditambah untuk hasil yang ketara.
 
Strawberi
Untuk mencerahkan kulit, anda boleh menggunakan buah strawberi yang kaya dengan vitamin C serta memiliki bahan antioksida yang membantu menyihatkan kulit.
Ditambah pula dengan susu yang kaya mineral, terbukti buah ini mampu menyempurnakan tekstur kulit anda. Nutrisinya yang tinggi menjadi dambaan penggemar rawatan tradisional untuk mendapatkan kulit sihat berseri.
Ambil lima biji strawberi bersaiz kecil. Kisar atau hancurkan kesemuanya. Campur dengan susu segar secukupnya. Oleskan di wajah dan leher selama 15 minit. Bilas dengan air bersih apabila sudah kering. Lakukan dua kali seminggu sehingga kulit mengalami perubahan yang mengagumkan.

 
Barli
Ketika demam, barli menjadi pilihan utama untuk menghilangkan panas dalam badan. Bukan itu sahaja. Ia juga digunakan sebagai bahan untuk mencerahkan kulit kerana kandungan protein, karbohidrat, vitamin dan galian di dalamnya merupakan sumber terbaik serat pemakanan.
Jika ingin kelihatan cantik, maka anda perlu rajin untuk mengamalkan petua ini. Ambil segenggam barli yang telah digoreng tanpa minyak. Tumbuk barli tersebut hingga lumat dan bancuh dengan sedikit perahan limau nipis yang telah dicampurkan air masak. Sapukan bancuhan air tersebut di seluruh wajah sebelum tidur.

Beras Pulut
Khasiat beras pulut memang telah lama diakui sejak turun-temurun. Kandungan kanjinya yang tinggi memerlukan ia dibasuh berulang kali hingga bersih. Nyata bahan ini ramai yang menggunakannya untuk mencerahkan kulit kerana ia mampu menanggalkan sel kulit mati.
Caranya, rendam beras pulut hingga lembut dan tumbuk hingga lumat. Lumurkan ke seluruh badan termasuk wajah anda. Apabila separuh kering, gosok kulit anda perlahan-lahan. Bilas hingga bersih. Seeloknya dibuat sebelum mandi.
 
Kopi
Serbuk kopi berupaya menghasilkan minyak antioksida yang berfungsi mencerahkan dan menghaluskan kulit wajah. Untuk mendapat kesan cerah sempurna pada kulit, lakukan cara ini sekerap yang mungkin.
Pertama sekali, campurkan serbuk kopi dengan minyak zaitun dan tepung sengkuang. Kacau kesemua bahan dan lulurkan ke seluruh tubuh termasuk wajah anda. Gosok perlahan-lahan dan biarkan selama sejam sebelum dibilas dengan air campuran garam. Selepas itu, mandi seperti biasa.

Sumber : Internet.

Post a Comment

0 Comments