Men are like Bluetooth, Women are like Wifi?


Agak melucukan! Begitu tanggapan awal saya saat membaca sebuah perumpamaan moden yang memperkatakan tentang perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam menanggapi perhubungan sesama mereka.

“Men are like Bluetooth. He is connected to you when you are nearby, but searches for other devices when you are away. Women are like Wifi. She sees all available devices, but connects to the strongest one.”

“Hmmm…bila teknologi terkini dijadikan perumpamaan manusiawi…siapalah pengarangnya.  Bagaimana agaknya kalau ayat itu diubah sedikit.” Saya berbisik sendiri.

“Men are like Bluetooth, you are next to him, then he stays connected. You go away, he finds for new devices. And a lady, however, is like Wifi. Many devices can connect to her as long as she is not secured. ”

Bibir saya terus menguntum senyum.

“Mungkin kerana itu, ada yang berpandangan bahawa pencarian seseorang yang ‘betul’ dan tepat bagi diangkat sebagai pasangan hidup yang serasi dan membawa bahagia,seumpama mencari sehelai rumput paling cantik.” Bisikan saya bertali.

Panduan Ilahi

Tidak perlu bertegang urat mempertahankan sama ada perumpamaan-perumpamaan di atas benar atau tidak, kerana sebagai seorang Muslim, Islam telah menggariskan panduan yang amat adil lagi bijaksana dalam menentukan kriteria pasangan yang baik menurut kaca mata agama.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya : “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara; [pertama] kerana hartanya, (kedua) keturunannya, (ketiga) kecantikannya, dan (keempat) agamanya. Maka, carilah yang baik agamanya, jika tidak maka kamu akan tersungkur fakir.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Di dalam hadis ini baginda s.a.w. menyatakan bahawa faktor pendorong seorang lelaki untuk menikahi seorang wanita itu ada empat iaitu harta, keturunan, kecantikan dan agama, dan di akhir hadis baginda s.a.w. memerintahkan agar memilih wanita yang baik agamanya serta memberikan dorongan untuk mencapai tujuan tersebut. Demikian juga, panduan ini turut terpakai ke atas wanita dalam mencari lelaki yang akan menyuntingnya sebagai suri.

Walaupun begitu, bukanlah satu perkara yang tercela jika seorang lelaki atau wanita itu memperhatikan faktor keturunan, kecantikan dan harta asalkan dia tidak meninggalkan faktor terpenting iaitu agama. Ini kerana, agama menjadi batas yang mengehadkan perkataan dan perbuatan seseorang dari melampaui kadar yang sepatutnya yang telah ditentukan agama.

Sebagaimana satu riwayat yang menyatakan seorang lelaki datang kepada Imam Hassan al Basri dan berkata kepada beliau :

“Sesungguhnya saya memiliki seorang puteri yang saya cintai dan banyak orang ingin melamarnya, maka apakah pandangan mu kepada ku wahai  Hassan al Basri ?”

“Nikahkanlah dia dengan lelaki yang takut kepada Allah kerana jika dia mencintai anak mu maka dia akan memuliakannya dan jika dia tidak menyukainya maka dia tidak akan menzaliminya”. Hassan menjawab penuh keyakinan.

Sungguhpun demikian, walau sesukar mana pun cabaran yang ditempuhi dalam misi pencarian si pencinta sejati, sama ada ia melahirkan tawa ceria mahupun esakan hiba, apa yang selalu diharapkan dari perhubungan antara dua jiwa ini adalah keberkatan. Wujudnya keberkatan sebagai peneman kehidupan berumah tangga, bermakna, lorong-lorong perhubungan antara lelaki dan wanita yang bergelar suami dan isteri itu selalu tampil aman dan sejahtera biar sesempit apa pun lorong tersebut untuk di selusuri bersama.

Teladan Al-Quran

Ada beberapa kisah yang ditampilkan Allah SWT menerusi kitab-Nya yang mulia, iaitu al-Quran. Kisah beberapa pasangan suami isteri yang amat menarik untuk kita selusuri, mengambil ibrah dan pengajaran padanya yang penuh bererti untuk kehidupan ini.

Kisah-kisah tersebut boleh kita simpulkan kepada dua kategori :


  •  Pasangan yang bersama di dunia, tapi terpisah di akhirat.



  •  Pasangan yang terus bersama, di dunia dan akhirat sana.


Kisah pasangan suami isteri bagi kategori pertama ditampilkan oleh Allah SWT di dalam al Quran melalui kehidupan berumah tangga Nabi Nuh a.s dan Nabi Lut a.s yang mana kedua-duanya mengahwini wanita penderhaka kepada Yang Maha Esa, manakala sebuah kisah lain yang turut tersenarai di bawahnya ialah kisah Permaisuri Asiah dan pasangannya Fir’aun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan yang layak diserahkan pengabdian.

Gambaran pasangan ( isteri ) yang buruk disebutkan dalam ayat berikut :

Maksudnya : “Allah menjadikan isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah ikatan pernikahan dengan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami. Lalu ke dua isteri itu berkhianat kepada kedua suami mereka, maka kedua suami mereka itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun dari seksa Allah, dan dikatakan kepada keduanya: ‘Masuklah kalian berdua ke dalam neraka bersama orang-orang yang masuk neraka’.” (Surah At-Tahrim ayat 10 )

Sementara gambaran pasangan (suami) yang jelik pula diketengahkan oleh Nya  melalui ayat:

Maksudnya:  "Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: “Ya Tuhan ku, bangunlah untuk ku sebuah rumah di sisi Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.” (Surah at Tahrim ayat 11).

Oleh itu, niat daripada awal perlu dipastikan berada betul di atas landasan. Niat ketika menetapkan kriteria-kriteria bakal pasangan. Niat ketika melihat bakal raja dan ratu hatinya. Niat ketika menyatakan persetujuan untuk bertunang. Niat ketika gerbang pernikahan melebarkan pintunya dan niat-niat lain seterusnya.

Niatlah yang akan menjadi timbang tara awal kepada keberkatan dalam jalan-jalan kehidupan berumah tangga.

Dan sudah pasti niat unggul seorang mukmin sejati itu hanya satu, demi meraih reda Ilahi; mengharapkan perhubungan yang terjalin berhias kasih yang suci berbumbung teduhan rahmat dari Yang Maha Mengasihi lagi Maha Menyayangi.

Sumber : Dara.com

Post a Comment

0 Comments